Tuesday, 26 April 2011

Kasih Sayang Tanpa Sempadan Waktu


" Dah bertahun kita berkahwin, tapi abang tak pernah bagi Sayang hadiah walaupun sekuntum bunga. Abang pun tak pernah katakan sayang, apatah lagi nak sebut I Love You. Abang ni sebenarnya sayangkan Sayang atau tidak?" luah Munira kepada Haris.
" Bukan abang tak sayang, apalagi membenci. Sebenarnya dalam hati ini selalunya bertakhta nama Sayang. Selama ini abang menerima Sayang seadanya. Pernahkah abang melukakan hati Sayang?" Soal Haris sambil duduk dan menyandarkan kepala di dinding.
" Memang tak pernah, tapi Sayang rasa kecil hati sebab orang lain hantar bunga berdozen-dozen sambut majlis ulangtahun perkahwinan. Itu belum lagi barang kemas yang Sayang nakkan tu."
Haris malas melayan kerenah isterinya. Bukannya setahun dua, tetapi sudah lebih 10 tahun membina rumahtangga. Baginya, empat anak menjadi bukti cintanya kepada Munira. Dia kagum dengan sifat keibuan yang ada pada isterinya.
Mengenang kembali bibit pertemuan antara mereka ketika di bangku sekolah, Munira mempunyai wajah yang cantik dan pandai mengambil hati. Ramai pelajar lelaki di sekolah memuja Munira. Tapi akhirnya wanita idaman berjaya dimiliki oleh Haris setelah melabur beribu ringgit untuk mendekati Munira dengan membeli hadiah.
Terasa menyesal di hati kecil Haris apabila mengenang kesilapannya memetik bunga. Kehendak isteri kesayangannya tidak dapat ditunaikan.
" Sayang, abang boleh tunaikan semua permintaan Sayang. Tapi Sayang perlu izinkan abang untuk membuat kerja tambahan. Abang pergi seawal pagi dan pulang lewat malam untuk cari duit lebih."
" Bukankah gaji abang dah besar. Anak-anak pun bukannya belanja banyak."
" Abang perlukan wang sebagai simpanan masa depan kita sekeluarga. Abang tak mahu kita bersenang dahulu, susah kemudian".
Munira terdiam mendengar kata-kata suaminya. Permintaannya menagih bukti cinta berbentuk material seperti terbang melayang dan entah ke mana. Dalam hati kecilnya berkata, " Mengapalah aku tidak bersyukur. Allah SWT selama ini pinjamkan aku seorang lelaki yang baik bergelar suami."
" Mengapa diam... Merajuklah tu," usik Haris sambil mencubit pipi isterinya.
" Taklah. Cuma Sayang tersedar sebenarnya kasih sayang abang memang tiada sempadan waktu. Jika tidak, mungkin Sayang tidak akan bahagia walaupun sudah lama berkahwin."

No comments:

Post a Comment